BECTA PERKASA TVET PENJAGAAN KESIHATAN
KUALA LUMPUR – BECTA Training Academy Sdn Bhd (BECTA) komited untuk memperkasakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkaitan penjagaan kesihatan.
Pada masa sama, Pengurus Kanan BECTA Training Academy, Noor Azman Alias berkata, pihaknya juga mahu melebarkan sayapnya dalam bidang ini ke luar negara.
Dalam merealisasikan hasrat itu, BECTA telah menandatangani kerjasama dengan syarikat penyedia latihan dari United Kingdom, Eastwood Park Limited (EP) dan National Integrated College (NIC).
Dalam jalinan itu, BECTA bertindak sebagai penyedia infrastruktur dan memantau perjalanan kerjasama bagi memastikan segala perancangan berjalan mengikut jadual.
EP pula sebagai memberi khidmat nasihat dalam membangunkan pelan strategik berkaitan TVET.
Manakala NIC pula menyediakan perkhidmatan sokongan akademik serta memastikan kemudahan dan peluang latihan praktikal mencukupi.
“Dengan kerjasama antara BECTA, EP dan NIC ini, kami harap dapat mencapai hasrat dalam menyokong agenda TVET negara, ini adalah agenda yang sangat penting untuk martabatkan kemahiran teknikal sedia ada.
“Untuk makluman, industri kesihatan ini terdiri dalam kalangan jurutera atau juruteknik yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Namun dengan pengalaman golongan ini, pastinya kita boleh latih mereka sehingga mampu memberi sumbangan dalam industri kesihatan ini yang mempunyai masa depan cukup kompeten,” katanya ketika ditemui di pada Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.
Kata Noor Azman lagi, keyakinan ini adalah sebab mengapa BECTA menawarkan TVET kesihatan supaya mereka diberi peluang dan ruang untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan daripada badan-badan tertentu supaya bakat dan kepakaran mereka diiktiraf dalam bidang kesihatan.
“Silibus pengajaran TVET yang sedang dibina oleh BECTA, EP serta NIC sememangnya akan memberi impak besar yang cukup signifikan dalam menjayakan dasar TVET negara.
“BECTA mempunyai pengalaman luas dalam bidang ‘latihan kompetensi teknikal’, EP mempunyai fasiliti latihan berprestij serta berteknologi tinggi.
“Manakala NIC pula mempunyai kemahiran dalam penyediaan silibus dan kurikulum akademik.
“Apabila tiga badan ini berkolaborasi, insya Allah ia dapat menghasilkan produk TVET yang seiring dengan agenda TVET negara,” ujarnya.