KERJASAMA PELBAGAI PIHAK KUNCI UTAMA KEJAYAAN SYARIKAT BIOPERUBATAN TEMPATAN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA
KUALA LUMPUR – Penggiat dalam sektor pembangunan peranti perubatan tempatan memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk terus berkembang dalam industri tersebut ke arah menjadikan Malaysia sebagai antara pusat pengeluar produk perubatan dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB), Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil berkata, kerjasama itu meliputi antara pihak kerajaan, akademik, pihak industri serta pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.
Ujarnya, Seminar Selangor-Korea Sustainable Futures 2024 misalnya, adalah contoh platform yang baik serta berkesan kepada syarikat pembangun peranti perubatan seperti APSB untuk mengembangkan sayap perniagaan ke pasaran yang lebih luas.
Apatah lagi, tambah beliau, Korea Selatan sendiri sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang membudayakan inovasi serta mempunyai teknologi termaju dalam bidang pembuatan produk perubatan yang mempunyai kelebihan untuk diterokai oleh APSB.
“Untuk kita secara bersendirian membawa produk yang kita miliki untuk mencapai seluruh dunia adalah perkara yang mustahil.
“Jadi, dengan adanya platform seminar dan sidang kemuncak seperti ini, maka kita dapat berjumpa secara langsung (face to face) dengan pelabur-pelabur yang berpotensi dari seluruh negara.
“Sebab itu saya juga berbesar hati dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran APSB dalam seminar ini yang secara tidak langsung membantu kita menjalin kerjasama lebih luas sama ada dengan pihak kerajaan atau pihak industri dari seluruh dunia.
“Harapan kita, menerusi penyertaan dalam seminar dan sidang kemuncak seperti ini, kita dapat menarik minat pelabur dari Korea Selatan selain diberi peluang untuk bertukar kepakaran dan teknologi yang dimiliki syarikat bioperubatan terkemuka dari negara tersebut,”
Terdahulu, Siti Ainol Khabtiah menyampaikan pembentangan bertajuk Malaysia’s Biomedical Industry: Current Landscape and Future Directions pada seminar Selangor-Korea Sustainable Futures 2024 hari ini.
Seminar itu diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Seminar itu dirasmikan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han. Hadir sama, Pengerusi APSB, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Secara umumnya, menerusi pembentangan itu, Siti Ainol Khabtiah berkongsi situasi semasa industri bioperubatan; pembangunan produk kesihatan; farmasi dan penjagaan kesihatan di negara ini yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi peranan dan sokongan yang disediakan kerajaan dari sudut infrastruktur, perundangan, akta dan sebagainya yang menyokong kepada pertumbuhan sektor bioperubatan di negara ini.
Selain itu, beliau turut berkongsi kedudukan Malaysia sebagai antara pengeskport utama produk-produk berkaitan perubatan dengan pasaran utama di negara-negara ASEAN, Eropah malah sehingga ke Asia Barat.
Menerusi pembentangan sama, Siti Ainol Khabtiah mengambil peluang mengetengahkan kejayaan APSB dalam bidang pembangunan produk perubatan menerusi peranti alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1.
Jelas beliau, produk itu yang kini sudah berjaya melepasi ujian klinikal di Hospital UiTM Sungai Buloh, Selangor merupakan contoh terhadap kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak seperti kerajaan, akademik dan pelabur yang diperlukan untuk sektor bioperubatan di negara ini terus berkembang maju