RAJA MUDA SELANGOR BERKENAN TINJAU RERUAI APSB

KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meninjau reruai Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Dalam kunjungan kira-kira 10 minit itu, Tengku Amir Shah diberi penerangan mengenai latar belakang operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat APSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meninjau reruai Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 17 OKTOBER 2024.

Selain itu, Siti Ainol Khabtiah turut mengambil peluang memperkenalkan produk utama yang dibangunkan APSB iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 yang sudah berjaya melepasi peringkat ujian klinikal kepada Tengku Amir Shah.

Tapak pameran APSB ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC). Foto TARIQ ALIFF, 17-20 OKTOBER 2024.

Dalam pada itu, reruai APSB sempena SIBS 2024 yang dibuka sejak semalam terus menarik perhatian pelbagai pihak seperti penggiat dalam sektor pembangun peranti perubatan swasta selain penuntut universiti.

Antaranya ialah sekumpulan penuntut Kejuruteraan Bioperubatan daripada Universiti Cyberjaya yang tidak melepaskan peluang mendalami kepakaran yang ditawarkan ASPB.

Bagi Syazrin Amanda Rosli, 21, dia menyifatkan pendedahan yang diterima di reruai APSB itu banyak membantunya dalam persediaan untuk memulakan projek akhir tahun tidak lama lagi.

Penuntut semester kelima Kejuruteraan Bioperubatan itu berkata, banyak maklumat dan pengetahuan baharu dalam bidang peranti perubatan diperolehinya di reruai APSB itu yang dapat digunakan untuk menyokong penyelidikan yang dijalankan di universiti.

“Saya sangat teruja dengan perkhidmatan dan kepakaran yang ditawarkan oleh APSB dan pengalaman syarikat ini menjadi inspirasi kepada saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pembuatan peranti perubatan di negara ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di reruai APSB.

Sementara itu, bagi seorang lagi penuntut Kejuruteraan Bioperubatan, L. Serivainavi, 23, dia juga banyak mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan berkenaan peranti perubatan di reruai APSB yang akan diaplikasikan semula dalam pengajiannya di universiti.

Kata penuntut tahun ketiga Universiti Cyberjaya itu lagi, pengalaman berinteraksi dengan syarikat sebenar yang terlibat dalam sektor pembuatan peranti perubatan memberikannya pendedahan dan gambaran berkenaan laluan kerjayanya dalam bidang itu pada masa depan.

Perasaan teruja juga dikongsi seorang lagi penuntut, Nuraimuni Husna Roslan, 22, yang mengakui kagum apabila mengetahui APSB merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang membangunkan produk alat bantuan pernafasan (ventilator).

Jelasnya, kemampuan APSB itu membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing dan menempatkan diri dalam bidang pembangun peranti perubatan yang kebiasaannya dimonopoli oleh syarikat gergasi antarabangsa.

“Ini juga menunjukkan kepada saya bahawa kerjaya dalam bidang pembangun peranti perubatan dalam negara ini juga sangat cerah dan terbuka luas dan APSB sudah semestinya menjadi antara pilihan kami untuk terus berkembang dalam bidang ini pada masa depan,” katanya yang merupakan penuntut tahun kelima di Universiti Cyberjaya.

Dalam pada itu, bagi penuntut antarabangsa dari Maldives, Fathmath Yumna Athif, 22, dia juga menyifatkan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh di reruai APSB sebagai sesuatu yang amat berharga untuk dibawa pulang ke negaranya.

Ujarnya, sebagai antara kelompok kecil penuntut dari negara itu dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, dia berharap pendedahan yang diterima di reruai APSB dapat membantunya memulakan kerjasama ke ara langkah yang besar untuk turut memajukan sektor pembangunan peranti perubatan di negaranya pada masa depan.

APSB merupakan antara syarikat yang menyertai SISB 2024 dengan membuka reruai yang mempamerkan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu dalam program yang berlangsung di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga Sabtu ini.

Menerusi reruai itu, APSB mempamerkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat terbabit khususnya peranti utama iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 yang sudah berjaya melepasi peringkat ujian klinikal.

Similar Posts